Sunday, July 6, 2008

KEM BESTARI PMR 2008

Hari ini masa begitu cepat berlalu. Pagi-pagi sudah bagi taklimat tentang peraturan dan pengisian Kem Bestari PMR kepada 160 calon PMR tahun ini. Kem Bestari tahun ini bertempat di Kem Putra, Peringat, Kota Bharu iaitu pada 10 hingga 12 Julai 2008. Surat kelulusan dengan JPN Kelantan iaitu Unit Perhubungan dan Pendaftaran telah diuruskan minggu lepas. Cuma menanti kelulusan. Harap-harap tak sangkut sebagaimana yang lepas. Seperti tahun-tahun lepas, pengisian Kem Bestari ini berfokus kepada teknik menjawab yang akan disampaikan oleh guru-guru yang pakar dalam bidang masing-masing. Alhamdulillah. Perkembangannya sungguh memberangsangkan. PMR tahun 2007 hampir mencapai 100% untuk semua subjek. Tahun 2007 hanya sangkut subjek Bahasa Arab. Harap-harap tahun ini impian semua guru, murid dan ibu bapa akan tercapai. InsyaAllah. Dengan sokongan padu PIBG, penceramah jemputan, Kem Bestari ini diharap dapat mencanai sebanyak mungkin untuk menghasilkan butiran intan permata yang tinggi nilainya. Ingatlah wahai muridku akan pesanan ini:

•Kita ingat Cuma 10% daripada apa yang kita baca.
•Kita ingat Cuma 20% daripada apa yang kita dengar.
•Kita ingat 50% daripada apa yang didengar dan dilihat.
•Kita ingat 70% daripada apa yang dicakapkannya.
•Kita ingat 90% setelah dipraktikkannya

Jadi selepas kem ini, diharapkan semua calon PMR SMKDMPR 2 dapat mempraktikkan apa yang dituntut dalam Kem Bestari tersebut. Apatah lagi sekarang telahpun berada dalam zon pecutan akhir.

Untuk menjadi pelajar yang cemerlang, anda perlulah membina ciri-ciri berikut:

1. Taat kepada perintah Allah.
2. Bermotivasi tinggi dan sentiasa menjalankan sebarang kegiatan dengan bersungguh- sungguh untuk mencapai kecemerlangan.
3. Mahir mengenai strategi dan teknik belajar yang berkesan dan tekun belajar.
4. Mahir mengenai strategi dan teknik menghadapi peperiksaan.
5. Menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan untuk mereka.
6. Menghormati, menyayangi guru dan tidak segan bertanya dan berinteraksi dengan guru.
7. Suka kepada setiap mata pelajaran yang dipelajari.

Hari ini juga ramai klien. Semuanya pasal kerjaya. Cuma tempahan untuk matrikulasi masih 'slow' iaitu baru ada 31 orang. Ada tamu daripada kaum ibu. Bagus ibu ini. Rajin datang sekolah. Dia cukup ambil berat pasal anaknya. Ibu yang macam inilah yang kita mahu. Dalam kesibukan tugas seharian, masih ada kesempatan untuk menjenguk anaknya dan sanggup berbincang dengan Guru Kaunseling.

No comments: