Sunday, June 28, 2009

KEM BESTARI PMR 2009

KEM BESTARI PMR 2009

Pada tahun 2009 ini, dua siri Kem Bestari akan dilaksanakan di Kem Putra, Peringat, Kota Bharu. Siri Pertama pada 09 - 11 Julai manakala Siri Kedua pada 16 - 18 Julai 2009. Untuk Siri Pertama ini seramai 112 orang murid calon PMR 2009 akan menyertainya manakala Siri Kedua akan disertai oleh 104 orang murid juga calon PMR 2009. Bagi calon SPM 2009, Kem Bestari ini akan dilaksanakan pada 23 - 25 Julai 2009. Nampaknya cuti hujung minggu bagi bulan Julai ini penuh terisi.
Program Kem Bestari merupakan salah satu daripada beberapa program kecemerlangan akademik pelajar. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknik-teknik menjawab soalan dan pembelajaran berkesan. Program ini dilaksanakan di luar bilik darjah bagi mengubah suasana pembelajaran biasa di bilik darjah bagi merangsang minda rasa seronok untuk belajar dan mengurangkan tekanan belajar walau pun pembelajaran berlaku sepanjang hari.
Matlamat:
Perubahan positif di kalangan murid ini akan membawa impak yang bermakna kepada prestasi, produktiviti dan kualiti. Kumpulan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan PMR sentiasa dapat dilahirkan. Ini dapat membuktikan bahawa permuafakatan organisasi masyarakat sekolah iaitu guru, ibu, bapa dan pelajar berjaya menggerakkan perubahan positif dalam usaha memastikan kecemerlangan pelajar.
Objektif:
1. Menggunakan teknik menjawab soalan peperiksaan sebenar semasa dan selepas program.
2. Meningkatkan keyakinan diri pelajar bahawa teknik menjawab yang betul boleh membantu meninggikan jumlah markah.
3. Sedar bahawa dirinya mampu mendapat keputusan cemerlang dengan melakukan sedikit perubahan.
4. Merangsang minat pelajar untuk belajar melalui perubahan iklim belajar yang berubah-ubah.
5. Menggunakan peluang ini untuk mempertingkatkan prestasi akademik dan mengorak langkah baru.
Pengisian:
1. Pengajaran dan Pembelajaran Terancang.
2. Teknik menjawab mata pelajaran pilihan.
3. Motivasi.
4. Kerohanian dan Riadah.
Adalah diharapkan dengan terlaksananya Program Kem Bestari ini, murid-murid atau peserta akan dapat mengubah paradigma diri membentuk matlamat peribadi yang cemerlang dan dapat membentuk pelan tindakan ke arah pembelajaran lebih terancang, bersepadu, dan berterusan. Pelajar lebih berkeyakinan dan dapat membina motivasi diri yang tinggi, berdisiplin, tekun belajar ke arah mencipta kecemerlangan yang lebih gemilang dalam bidang akademik dan sahsiah.

Tuesday, June 16, 2009

SEMINAR GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING KEBANGSAAN 2009










SEMINAR GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING KEBANGSAAN 2009


Guru Bimbingan Dan Kaunseling sentiasa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang semakin hari semakin rencam. Ilmu dan pengalaman yang sedia ada perlu ditokok tambah bagi menangani kerencaman yang dihadapi dapat ditangani dengan lebih berkesan. sehubungan itu, seminar merupakan salah satu cara bagi menggilap dan menajamkan lagi ilmu pengetahuan yang sedia ada.


Oleh itu, Seminar Guru Bimbingan Dan Kaunseling Kebangsaan 2009 telah dan sedang berlangsung di Hotel Goldcourse bermula 15 Jun - 18 Jun 2009. Matlamatnya adalah untuk menjadikan perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling di sekolah sentiasa mantap bagi mendepani cabaran globalisasi masa kini dan akan datang.



Objektifnya adalah seperti berikut:



1. Mengadakan perbincangan profesional dalam kalangan semua Guru Bimbingan Dan Kaunseling dari seluruh negara.



2. Mewujudkan kerjasama serta perkongsian pintar dalam kalangan Guru Bimbingan Dan Kaunseling.



3. Meningkatkan tahap profesionalisme Guru Bimbingan Dan Kaunseling sesuai dengan perkembangan alaf baru.



4. Mengembelingkan tenaga untuk mewujudkan satu permuafakatan Guru Bimbingan Dan Kaunseling yang mantap dan berkesan.



Tema seminar pada tahun ini ialah:



'Perkhidmatan Guru Bimbingan Dan Kaunseling Mendepani Cabaran Globalisasi'.



Di antara pengisiannya ialah:



i. Ceramah 'Disiplin Tanpa Dendaan' oleh Prof. Madya Dr. Hj. Abdullah Sudin b. Hj. Abd. Rahman



ii. Ceramah dan Sesi Kaunseling 'Pemadanan Penggunaan Teori Kaunseling Dalam Kepelbagaian Kes' oleh En. Yusuf Ahmad, Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Serdang.



iii. Ceramah 'Masalah Sosial Seks Bebas Di Kalangan Remaja' oleh Prof. Dr. Mohamed Fadzil b. Che Din, Pengarah Institut Sosial Malaysia.



iv. Ceramah 'Emotional Spritual Quotion (ESQ) Management' oleh En. Wan Hassan b. Wan Ahmad, Triple Power Learning.



v. Ceramah 'Isu Perkhidmatan Bimbingan Dan Kaunseling' oleh En. Ali b. Hamid, IAB Utara.



vi. Pameran Kerjaya oleh Agensi/ Kolej Swasta



vii. Pelancaran 'Buku Kajian Kes' MGKK