Sunday, November 2, 2008

PERSIDANGAN GURU KAUNSELING KEBANGSAAN KE 3


Hari ini berada di MITC Ancasa Hotel, Air Keruh, Melaka untuk menghadiri Persidangan Guru Kaunseling Kebangsaan Kali Ketiga. Majlis Perasmian Penutup persidangan akan disempurnakan oleh YB Menteri Pelajaran Malaysia, Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein iaitu 'SATU NAMA BESAR DALAM DUNIA PENDIDIKAN MALAYSIA'. Keprihatinan, kecaknaan yang tinggi terhadap dunia pendidikan menjadikan beliau begitu dekat di hati warga pendidik. Sebagai anak bekas Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, darah pejuang dan kepemimpinan yang mengalir dalam tubuhnya menjadikan beliau sentiasa berwawasan, memperkenalkan inovasi dan rekayasa, mengambil berat kebajikan warga pendidikan, memberi sumbangan bakti dan melibatkan diri sehingga ke peringkat antarabangsa. Selama empat tahun memegang jawatan Menteri Pelajaran, beliau telah melakukan reformasi mega dan menyeluruh dalam dunia pendidikan.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), adalah kerangka hala tuju (blue print) pendidikan negara yang diterajui oleh Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein. Konsep dan idea modul pendidikan tersebut adalah hasil daripada refleksi keperluan ekonomi negara dan organik nilai masyarakat Malaysia. Dunia pendidikan alaf globalisasi menuntut kepimpinan yang tajam taakulan dan tepat spekulasinya berdasarkan statistik dan rujukan yang jelas.
Esok 04 November, saya akan bentangkan kertas kerja dalam persidangan tersebut mewakili Zon Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang yang bertajuk 'PERMUAFAKATAN DISIPLIN DAN KAUNSELING DALAM PENGURUSAN SEKOLAH' sebagai cetusan minda yang kemudiannya akan dibengkelkan oleh peserta persidangan yang terdiri daripada perwakilan Guru Kaunseling Negeri dari seluruh pelusuk tanah air termasuk Sabah, Serawak dan Labuan. Terima kasih kepada semua perwakilan Kelantan dan Pegawai Khas Kaunseling Kelantan yang telah sama-sama memberi sumbangsaran dalam menyiapkan kertas kerja tersebut.