Sunday, November 2, 2008

PERSIDANGAN GURU KAUNSELING KEBANGSAAN KE 3


Hari ini berada di MITC Ancasa Hotel, Air Keruh, Melaka untuk menghadiri Persidangan Guru Kaunseling Kebangsaan Kali Ketiga. Majlis Perasmian Penutup persidangan akan disempurnakan oleh YB Menteri Pelajaran Malaysia, Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein iaitu 'SATU NAMA BESAR DALAM DUNIA PENDIDIKAN MALAYSIA'. Keprihatinan, kecaknaan yang tinggi terhadap dunia pendidikan menjadikan beliau begitu dekat di hati warga pendidik. Sebagai anak bekas Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, darah pejuang dan kepemimpinan yang mengalir dalam tubuhnya menjadikan beliau sentiasa berwawasan, memperkenalkan inovasi dan rekayasa, mengambil berat kebajikan warga pendidikan, memberi sumbangan bakti dan melibatkan diri sehingga ke peringkat antarabangsa. Selama empat tahun memegang jawatan Menteri Pelajaran, beliau telah melakukan reformasi mega dan menyeluruh dalam dunia pendidikan.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), adalah kerangka hala tuju (blue print) pendidikan negara yang diterajui oleh Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein. Konsep dan idea modul pendidikan tersebut adalah hasil daripada refleksi keperluan ekonomi negara dan organik nilai masyarakat Malaysia. Dunia pendidikan alaf globalisasi menuntut kepimpinan yang tajam taakulan dan tepat spekulasinya berdasarkan statistik dan rujukan yang jelas.
Esok 04 November, saya akan bentangkan kertas kerja dalam persidangan tersebut mewakili Zon Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang yang bertajuk 'PERMUAFAKATAN DISIPLIN DAN KAUNSELING DALAM PENGURUSAN SEKOLAH' sebagai cetusan minda yang kemudiannya akan dibengkelkan oleh peserta persidangan yang terdiri daripada perwakilan Guru Kaunseling Negeri dari seluruh pelusuk tanah air termasuk Sabah, Serawak dan Labuan. Terima kasih kepada semua perwakilan Kelantan dan Pegawai Khas Kaunseling Kelantan yang telah sama-sama memberi sumbangsaran dalam menyiapkan kertas kerja tersebut.

Sunday, October 12, 2008

SELAMAT MENDUDUKI PMR

SELAMAT MENDUDUKI PMR
Buat semua calon PMR 2008 khususnya anak-anak hamba di SMKDMPR2. Cuba dapatkan 2A untuk hari pertama anda (BM dan PAI). Tenang. Semuanya akan jadi milik anda. Usaha anda selama ini tidak akan sia-sia. Berdoalah kepada Allah SWT kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Ingat hari kedua anda (Selasa) ialah kertas BI dan Sc, hari ketiga (Rabu) ialah Matematik dan Sejarah, hari keempat (Khamis) ialah Kemahiran Hidup dan Bahasa Arab dan hari terakhir (Jumaat) ialah Geografi.
Jangan lupa dengan alat tulis, slip menduduki peperiksaan dan kad pengenalan anda. Do Your Best!.
Selepas PMR, kepada yang belum menyerahkan Borang SBP, sila berbuat demikian. Jangan lupa hantar nanti menyesal tak sudah.

Sunday, September 21, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Izinkan kami sekeluarga untuk mengucapkan Salam Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin kepada semua Pengunjung Blog dan kepada semua yang mengenali diri ini. Maaf jua kerana kad raya tak sempat dibalas. Semoga kehadiran 1 Syawal kali ini menjadikan hidup anda lebih ceria dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR dan BATIN.


Wednesday, September 10, 2008

PERMOHONAN KE TINGKATAN 4 SBP 2009

UNTUK SEMUA CALON PMR 2008
Pastikan anda tidak terlepas untuk mengisi Borang Permohonan Secara On-Line (Dalam Talian) untuk sesi pengajian tahun 2009 ke tingkatan 4 Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Sila layari laman http://www.moe.gov.my/ dengan kata laluan angka giliran PMR dan nombor kad pengenalan. Isi dan cetak. Sila semak dan buat pembetulan yang perlu. Jika ada pembetulan, cetak semula dan hantar ke pihak sekolah / Guru Kaunseling anda untuk urusan pengesahan dan penghantaran ke PPD / JPN / KPM. Kelayakan minima A Matematik, A Sains, A Bahasa Inggeris, A Bahasa Melayu dan dua mata pelajaran lain iaitu minima 6A. Nak selamat, pastikan anda mencapai 8A atau pun 9A. Empat Pilihan Aliran iaitu Sains Tulin, Sains Tulin Agama, Agama dan Sains Teknikal. Ingat tarikh tutup permohonan ialah 23 Oktober 2008. Oleh itu, isi awal-awal supaya pihak sekolah dapat proses awal.

Monday, September 8, 2008

SYURGA DAN TINGKATANNYA

Setiap tingkatan syurga ada dengan segala kenikmatan dan kebahagiaannya.
Bayangkan...di muka ahli syurga ada pancaran kenikmatan. Minumannya dari Ar-Rahiq al-Makhtum. Duduk di atas singgahsana yaqut merah dalam khemah dari lukluk putih dan di dalamnya penuh dengan segala keindahan yang tidak terbayangkan. Bersandar di atas kerusi pengantin dengan bersenang-senang di atas gemercik air sungainya. Dihujani arak dan madu. Dikelilingi anak-anak syurga. Dihiasi bidadari yang bermata indah seperti yaqut dan marjan yang selalu menawan hati insan. Mereka berjalan di tangga syurga. Apabila salah satunya enggan berjalan, lalu didokong oleh tujuh puluh ribu tijan dan bertatahkan lukluk dan marjan. Elok di pandang mata. Tidak akan tua dan tidak akan membosankan.
Mereka terus mendampingi dalam khemah di sebuah mahligai nan indah terbuat dari yaqut yang dibangunkan di tengah taman yang mengalir, menyegarkan bagi orang yang meminumnya. Di kelilingi pula oleh anak-anak dari syurga seperti lukluk yang tersulam, sebagai balasan amal mereka.
Itulah syurga dan mata air di syurga dan sungai di tempat yang benar, di sisi Allah Yang Maha Kuasa. Di situlah melihat kepada Raja Yang Maha Mulia di mana telah terpancar cahaya kebahagiaan pada muka mereka. Tidak cemas sedikit pun. Bahkan mereka hamba-hamba yang dimuliakan dengan segala kenikmatan dari Tuhannya yang telah dijanjikan. Mereka kekal dalam sesuatu yang diingini. Mereka tidak takut, gelisah atau ragu. Bahkan mereka bahagia sahaja. Mereka makan makanan syurga dan minum dari sungai arak, madu, susu dan airnya.
Firman Allah bermaksud:
"Untuk orang yang takut berdiri (di hadapan) Allah, ada dua kebun (syurga)."
(Q.S. Ar-Rahman: 46)
Iktibarnya: Atas kenikmatan yang disediakan di syurga oleh Allah SWT kepada kita, maka marilah sama-sama kita menjadi hamba yang bertaqwa. Semoga Allah memilih kita di kalangan orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepadaNya.
Firman Allah bermaksud:
"Berlumba-lumbalah kamu kepada mendapatkan keampunan dari Tuhanmu!"
(Q.S. Al-hadid: 21)

Sunday, September 7, 2008

NERAKA DAN PANASNYA

Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril,
"Wahai Jibril, terangkan kepadaku tentang neraka dan panasnya."
Jibril berkata:
"Sesungguhnya Allah menciptakan neraka dan Dia menyalakan seribu tahun sehingga memerah. Lalu dinyalakan lagi seribu tahun lagi sehingga memutih. Dia nyalakan lagi seribu tahun sehingga menjadi hitam. Hitam pekat dan gelap. Demi Zat yang mengutuskanmu sebagai nabi. Seandainya sehelai pakaian ahli neraka ada di atas bumi, tentu ahli bumi akan mati semua. Dan seandainya setimba daripada minuman mereka ditumpahkan ke air bumi, tentulah mati semua yang meminumnya. Dan seandainya sepotong rantai neraka diletakkan di atas gunung dunia, hancur leburlah ia. Dan seandainya saja seseorang masuk neraka kemudian dikeluarkan lagi ke dunia, tentu ahli bumi ini mati semua kerana bau busuknya."
Firman Allah bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang munafik dalam neraka yang paling bawah."
(Q.S. An-Nisa': 145)

JADILAH ORANG MUKMIN BUKAN MUNAFIK

ORANG MUKMIN DAN ORANG MUNAFIK
Rasulullah SAW pernah ditanya perihal orang mukmin dan orang munafik. Baginda menjawab:
“Sesungguhnya orang mukmin himahnya dalam solat dan puasa. Sedangkan orang munafik himahnya pada makanan dan minuman bagai binatang, di samping meninggalkan solat dan ibadah yang lain. Orang mukmin sibuk bersedekah dan meminta ampun. Sedangkan orang munafik terlena oleh kerakusan dan angan-angan. Orang mukmin memutuskan harapan kepada segala sesuatu selain Allah. Orang mukmin mengorbankan segala sesuatu untuk agama. Sedangkan orang munafik mengorbankan agama untuk harta. Orang mukmin aman dari segala sesuatu selain Allah. Tapi orang munafik takut kepada segala sesuatu selain Allah. Orang mukmin selalu berbuat baik dan menangis. Sedangkan orang munafik selalu berbuat jahat dan tertawa. Orang mukmin suka menyendiri dan menyepi. Tetapi orang munafik suka bergaul beramai-ramai. Orang mukmin menanam dan takut binasa. Sedangkan orang munafik suka mencabut dan mengetam saja. Orang mukmin berdakwah demi kebaikan agama. Sedangkan orang munafik memerintahkan kemungkaran dan melarang yang makruf.”
Firman Allah bermaksud:
“....sesungguhnya Allah menghimpun orang-orang munafik dan orang-orang kafir sekaliannya dalam Neraka Jahanam.”
(Q.S. An-Nisa’: 140)

Tuesday, September 2, 2008

SELAMAT BERPUASA




KENANGAN KEM BESTARI SPM 2008





KISAH NABI YAAQUB AS

KISAH NABI YAAQUB AS DENGAN MALAIKAT MAUT
Tersebut dalam kitab ‘Zahrir Riyadh’, bahawa Yaaqub as bersahabat dengan Malaikat Maut. Maka pada suatu ketika Malaikat Maut datang kepada Yaaqub. Yaaqub berkata, “Wahai Malaikat Maut, engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?” Malaikat Maut menjawab, “Untuk berziarah saja.” Lalu Yaaqub berkata, “Aku mempunyai permintaan kepadamu.” Malaikat Maut bertanya, “Apakah permintaanmu?” Yaaqub menjawab, “Bila ajalku telah dekat dan engkau hendak mencabut nyawaku, hendaklah kau beritahu aku terlebih dulu.” Malaikat Maut menjawab, “Baiklah, aku akan mengutuskan kepadamu dua atau tiga utusan.” Maka ketika ajal Yaaqub telah sampai, Malaikat Maut datang lagi kepadanya, lalu ditegur Yaaqub, “Apakah engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?” Malaikat Maut menjawab, “Aku datang untuk mencabut nyawamu.” Yaaqub bertanya dengan hairan, “Bukankah engkau telah berjanji kepadaku hendak mengutus dua atau tiga utusan terlebih dahulu?” Malaikat Maut menjawab, “Benar dan aku telah melakukannya. Putihnya rambutmu setelah hitam, lemahnya badanmu setelah kuat dan membongkoknya tubuhmu setelah tegap, itu adalah utusanku wahai Yaaqub kepada manusia sebelum mati.”
Iktibarnya: Kita patut bersyukur andainya utusan ini sampai kepada kita kerana kita masih berpeluang untuk perbaik dan perbanyak amalan kita. Taatlah kepada Allah dengan takut dan ikhlas. Redha terhadap keputusanNya, sabar atas balaNya, syukur atas nikmatNya serta menerima atas pemberianNya.

Monday, September 1, 2008

SABAR

SABAR
Sabar mempunyai banyak macam. Sabar melaksanakan perintah (taat). Sabar meninggalkan laranganNya dan sabar ketika mendapat bencana. Bagi orang yang berakal, wajiblah dia bersabar atas bencana yang menimpa. Barang siapa yang bersabar kerana taat, maka pada hari Kiamat, Allah akan memberikannya 300 darjat di Syurga. Tiap-tiap darjat itu berjarak antara langit dan bumi. Barang siapa yang sabar meninggalkan segala larangan Allah, maka Allah akan memberinya 600 darjat berjarak antara bumi dan langit ke7. Adapun orang yang sabar atas bencana dan musibah, Allah akan memberinya 700 darjat di Syurga dan tiap-tiap darjat di antara Arasy dan Tsura.

Dirawikan daripada Nabi Muhammad SAW, sesungguhnya baginda bersabda, Allah telah berkata:
“Barang siapa ditimpa bencana, lalu dia memohon perlindungan daripadaKu, pasti Aku memberinya sebelum dia meminta. Dan barang siapa ditimpa bencana, lalu dia meminta perlindungan kepada makhluk, pastiKu tutup semua pintu langit baginya.”

Junaid al-Baghdadi ra telah berkata, “Bala merupakan pelita orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang lengah (lupa). Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan sabar.”

Rasulullah SAW juga bersabda:
“Barang siapa sakit semalam, dia sabar dan rela kepada Allah, maka bersih daripada dosa bagaikan ketika dia lahir dari perut ibunya. Jika engkau sakit, janganlah segera meminta sembuh.”
Oleh itu, kalau kita ingin selamat daripada azab Allah, ingin mendapat pahala, rahmat dan masuk ke Syurga Allah, hendaklah kita menahan nafsu daripada segala keinginan dunia, di samping sabar atas segala kesulitan dan musibahnya. Allah menyukai orang-orang yang sabar.

Sunday, August 31, 2008

KISAH NABI DAUD

Pada suatu hari Nabi Daud as duduk di tempat peribadatannya. Tiba-tiba dia melihat ulat merah. Maka dalam hati dia berkata: "Apa kiranya kehendak Allah pada ulat ini?" Maka dengan izin Allah ulat itu berbicara seraya berkata, "Wahai Nabi Allah! Di siang hari Tuhanku mengilhamkan agar aku baca 'Subhanallah Wal Hamdulillah Wala-Illaha Illa Allah' seribu kali. Sedangkan di malam hari Allah mengilhamkanku agar membaca 'Allahumma Solli ala Muhammadini Nabiyyil Ummiyyi Wa'ala alihi Wasobbihi Wasallam' seribu kali. Lalu apakah yang engkau baca hingga aku ingin mengambil faedah daripadamu?" Maka Nabi Daud as amat menyesal menghina pada ulat itu. Dia merasa takut kepada Allah, lalu dia bertaubat dan bertawakal kepada-Nya.
Iktibarnya: Jangan memandang negatif kepada orang lain dan bila kita sedar kita telah melakukan kesilapan, maka cepat-cepatlah bertaubat kepada Allah. Semoga Allah mengampunkan dosa kita. Amin.

7 TANDA TAKUT KEPADA ALLAH

7 Tanda Takut Kepada Allah – Abul-Laits:
Pertama, pada lisannya. Dia menghindarkan daripada dusta, ghibah, menyebar fitnah, berbual kosong dan banyak bercakap. Bahkan dia menyibukkan diri dengan zikir, membaca al-Quran dan muzakarah ilmu.

Kedua, pada hatinya. Dia membuang rasa permusuhan, kebodohan dan kedengkian terhadap sahabatnya. Kedengkian dapat menghapuskan kebaikan. Hasad itu penyakit hati yang amat bahaya dan hanya dapat diubati dengan ilmu dan amal.

Ketiga, pada pandangannya. Maka dia tidak suka memandang pada hal-hal yang haram termasuk makanan, minuman dan pakaian. Tidak terpikat dengan dunia. Dia memandangnya dengan mengambil iktibar.

Keempat, pada perutnya. Maka perutnya tidak diisi barang yang haram. Sama ada barang itu jelas hukumnya haram atau didapati dengan cara yang haram.

Kelima, pada kedua tangannya. Dia tidak menggunakan untuk perkara yang haram tetapi menggunakannya untuk taat kepada Allah.

Keenam, pada langkah (kakinya). Dia tidak berjalan untuk maksiat tetapi hanya melangkah untuk mentaati perintah Allah, mencari keredhaan-Nya serta bergaul dengan para ulama dan orang-orang soleh.

Ketujuh, terlihat pada ketaatannya. Dia menjadikan ketaatannya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Takut pada riak dan munafik.

Oleh itu jadilah orang yang bertaqwa.
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga dengan mata air – mata air terpancar padanya .”
(Q.S Al Hijr:45)

Wednesday, July 30, 2008

KEM BESTARI SPM

Kem Bestari PMR dah selesai. Kini Kem Bestari SPM akan muncul pula. Memang penat jadi Guru Kaunseling. Macam-macam kem ada. Itupun masih ada yang tak 'senang' dengan Guru Kaunseling. Puncanya kerana tak mengajar. Pengetua pun kena 'mengajar'. Nak buat macam mana. Pekeliling 3/96 mengatakan Guru Kaunseling sepenuh masa tidak mengajar. Kalau cikgu juga tak nak mengajar, mintalah jadi Guru Kaunseling. Senangkan. Guru Kaunseling banyak keluar, hadir macam-macam kursus, kem, inhouse tranning. Habistu kalau tak nak bagi Guru Kaunseling keluar, buat aje kursus di sekolah. Hantar je JU (bukan Guru Kaunseling) ke semua sekolah. Apa susah. Guru Kaunseling tak perlu keluar duit untuk menanggung minyak kereta, makan dan badan pun tak penat. Klim entah bila dapat. Itupun jika dibayar. Kalau tak bayar, sengsaralah sendiri.
Begitulah dengan Kem Bestari ini. Tapi demi anak bangsa, Guru Kaunseling sanggup berkorban segala-galanya. Selagi dia bergelar Guru Kaunseling dan sebagai pekerja bawahan, maka selagi itulah kena akur apa jua arahan pihak atasan termasuk KPM, JPN, PPD dan sekolah sebagaimana yang termaktub dalam Senarai Tugas GKSM bilangan ke 24 dan 25 (Rujuk 25 Senarai Tugas GKSM).
Pada 07 - 09 Ogos ini, akan berkampunglah anak-anak hamba di Kem Putra, Peringat. Kalau semua dapat hadir 129 orang kesemuanya. Semua penceramah iaitu Guru Pakar telah dijemput dan menyatakan kesanggupannya walaupun hari Sabtu bersekolah. Hari Sabtu terdekat (02 Ogos) ada 'Kursus Motivasi Kepada Guru' - kursus perkembangan staf.
Pada 03 dan 04 Ogos ada sesi taklimat Penggunaan Modul Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah KPM yang akan dilangsungkan di PPD Kota Bharu untuk seorang wakil setiap sekolah seluruh negeri Kelantan. Keluar lagi. Habis tu ... nak surat tunjuk sebab ... ??? Inilah dilema Guru Kaunseling setiap tahun.

TEMPAHAN BORANG MATRIK

Hari ini hamba sempat ke BSN untuk tempah borang matrikulasi. Seramai 59 orang membuat tempahan secara on-line dan hanya 3 orang yang membuat tempahan secara manual. Jumlah RM384.00. Bagaimana dengan anda...dah tempah ke belum? Yalah...yang ini untuk calon SPM yang cukup syarat sahaja. Kalau layak tu tempahlah jika berminat ke matrikulasi. Tak minat? Tak minat tempahlah UPU .. diploma terus. Tak minat juga? Ha...tunggu aje ke tingkatan 6. Tak nak tingkatan 6 .... habis tu tunggu ... tunggu bertunang ye? Ha...ha...Oh tak juga? Habis tu? Oh...politeknik...IKBN...ILP... Kolej swasta... o...o...ore banyak duitlah katakan. Tak juga? Oh...nak ke institut perguruan. Oklah....mana-mana pun boleh. Yang penting anda merancang untuk hidup anda. You fail to plan...you plan to fail...he..he... Manusia tidak merancang untuk gagal, mereka gagal untuk merancang. ~ William J. Siegel.Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan. Hidup ini perlu diteruskan. Suka, duka, pahit, sengsara... sabar aje. Setiap yang pahit ada kemanisannya. Kalau kita tak dapat di dunia...insyaAllah kita akan dapat di akhirat nanti.

Tuesday, July 29, 2008

KITA HIDUP KERANA ADA CABARAN

Sudah dua hari hamba menyepi diri daripada blok kesayangan hamba ini. Kerja tak banyak tapi ramai klien. Klien keutamaan hamba. Dekat exam makin ramai. Apatah lagi percubaan PMR dah tak berapa hari lagi. Masing-masing mahu lepaskan stress di samping post mortem strategi. Anak-anak yang mempunyai matlamat dan keinginan yang tinggi memang senang dibentuk. Nak jadi bapa memang senang tetapi nak berfungsi sebagai bapa tak sesenang yang disangkakan. Pelbagai cabaran dan dugaan.
Surah At-Tahrim; ayat 6 bermaksud:
"Wahai orang-orang Yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan."
Namun janganlah kita berputus asa. Memang amat tinggi letaknya kebahagiaan. Namun kita harus menuju ke sana. Ada orang yang berputus asa berjalan ke arahnya lantaran disangkanya jalan ke sana amat sukar. Padahal mudah, kerana ia dimulai daripada dirinya sendiri.
Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia. ~Richard Brinsley Sheridan

Monday, July 28, 2008

KURSUS PELAPORAN L4 PPD PASIR PUTEH, MACHANG DAN GUA MUSANG











Kalau semalam semua Guru Kaunseling daripada PPD Tanah Merah, Jeli, Bachok dan Kuala Krai, hari ini merupakan giliran Guru Kaunseling daripada PPD Pasir Puteh, Machang dan Gua Musang. Maka dengan itu selesailah tugas hamba untuk 'inhouse trainning' kepada semua Guru Kaunseling yang mewakili sekolah masing-masing seluruh sekolah di negeri Kelantan. Hamba telah selesaikan amanat YABrs Tn. Haji Zulkifli bin Mohamad Wazir, Pengarah Bahagian Sekolah dan En. Rahim, Penolong Pengarah Bahagian Sekolah, KPM dan Pengarah Pelajaran Kelantan, sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan. Terima kasih kepada semua rakan-rakan JU yang telah sama-sama bertungkus lumus membantu menjayakan 'inhouse trainning' ini. Jua terima kasih kepada Pegawai Kaunseling JPN Kelantan, En. Wan Ahmad Azmi kerana memberi kepercayaan yang sepenuhnya kepada hamba dan rakan-rakan untuk menjayakan kursus ini. Rasanya amat berbaloi walaupun terpaksa berulang jauh ditambah dengan peritnya tekak ini kerana hati terasa puas bila komitmen Guru-guru Kaunseling terhadap kursus ini amat tinggi. Tahniah dan Terima kasih cikgu. Tapi jangan lupa L4 ini mesti di e-mail sebelum 15 November. Hamba percaya anda semua hebat dan dapat laksanakan dengan sebaik mungkin.
Orang bijaksana tidak sesekali duduk meratapi kegagalannya, tapi dengan lapang hati mencari jalan bagaimana memulihkan kembali kerugian yang dideritainya. Yang telah berlalu biarkan ia berlalu, yang mendatang hadapi dengan cemerlang. Setiap jiwa yang dilahirkan telah tertanam dengan benih untuk mencapai keunggulan hidup. Tetapi benih itu tidak akan tumbuh seandainya tidak dibajai dengan keberanian. Hidup ini adalah warna-warni yang terlakar pada kanvas, walaupun tidak cantik ia tetap mempunyai sejuta makna.

Sunday, July 27, 2008

KURSUS PELAPORAN L4 PPD TANAH MERAH, JELI, BACHOK DAN K.KRAI











Kursus Pelaporan L4 Bimbingan dan Kaunseling kali ini adalah untuk semua Guru Kaunseling PPD Tanah Merah, Jeli, Bachok dan K. Krai. Sambutan hari ini amat menggalakkan. Guru Kaunseling begitu teruja sekali untuk membina e-mail sendiri dan mengisi Borang L4. Semua begitu ghairah menghafal formula untuk dapatkan jumlah atau jumlah besar [ =SUM( .... ]. Ingat sebelum taip formula, pastikan sel jumlah diaktifkan. Klikkan dipetak pertama (aktif) dan tarik ke petak seterusnya kecuali petak jumlah. Dapatkan hasilnya. Untuk jumlah pendapatan tahun lepas dan tahun semasa formulanya adalah =SUM( ... aktifkan sel pendapatan tahun lepas dan tarik ke bawah iaitu sel pendapatan tahun semasa. Ingat ... tekan entar bila kerja beres dan save. Untuk jumlah pendapatan keseluruhan (baki) formulanya =SUM( ... aktifkan sel 1+2, dan masukkan tanda - [tolak] dan aktifkan sel perbelanjaan dan tekan enter. InsyaAllah dapatlah belancenya. Jika jumlah atau nilai wang terlalu banyak, lebarkan sel supaya semua angka dapat dipaparkan. Selamat mencuba.

Wednesday, July 23, 2008

GURU-GURU SMK DATO' MAHMUD PADUKA RAJA 2 TAHUN 2008


Inilah barisan guru-guru SMKDMPR2 yang begitu komited dengan tugas termasuk Guru Kaunselingnya...wah...wah... Senyum manis nampaknya. Bergaya untuk majalah sekolah. Hidup kita perlu sentiasa ceria walaupun pelbagai masalah yang melanda. Apa yang penting kita perlu teruskan hidup ini. Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain dibukakan. Tetapi sering kali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tidak melihat pintu lain yang dibukakan bagi kita. CINTA, MENYINTAI ATAU DICINTAI itu adalah lumrah sifat kejadian manusia. Hak untuk bercinta dan menerima bergantung kepada individu itu sendiri. Pilihan adalah terpulang kepada kita, jika pilihan berlandaskan agama pasti hasilnya diberkati dan sekiranya berlandaskan nafsu pasti akan terhumban ke lembah kehinaan.

Tuesday, July 22, 2008

NAIK PANGKAT




Minggu ini merupakan minggu terakhir untuk sahabat saya bertugas di sekolah ini. Pemergian beliau ke sekolah baru merupakan suatu kehilangan yang besar kerana sukar untuk mencari ganti guru kimia yang komited seperti beliau. Sekalong Tahniah untuk Mejar (B) Tuan Haji Mohd Nazi Deraman yang akan menjawat jawatan Ketua Bidang di SMK Batu Gajah. Semoga jawatan ini menjadi titik permulaan untuk jawatan yang seterusnya. InsyaAllah.

Monday, July 21, 2008

KURSUS PELAPORAN L4 PPD PM/T











Hari ini hari kedua berada di Bahagian Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, Kelantan untuk 'inhouse tranning' Pelaporan L4 untuk Guru Kaunseling PPD Pasir Mas dan PPD Tumpat. Semua Guru Kaunseling begitu teruja dengan kursus ini kerana tak banyak peluang untuk Guru Kaunseling mendapat kursus berkaitan bidang ICT ini. Ada yang begitu seronok kerana pertama kali dapat buat e-mail sendiri. Untuk makluman Guru Kaunseling PPD Kota Bharu, Pasir Mas dan Tumpat, penghantaran Borang L4 tidak perlu dimasukkan ke dalam folder kerana folder terlalu besar kecuali guna 'winzip'. Jadi terus hantar fail excel Borang L4 dengan klik pada 'lampir' dan hantar.




Namun ada juga notebook yang dibekalkan untuk Guru Kaunseling tak ada 'wireless internet'. Kesian Guru Kaunseling ini kerana terpaksa berkongsi dengan rakan yang lain. Untuk Guru Kaunseling PPD Tanah Merah, Jeli, Machang, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Julai ini (Tertakluk kepada surat JPN atau pindaan) , pastikan notebook yang dibawa nanti ada 'wireless internet' dan bawa sekali 'pendrive' atau 'external hardisk'.




Saturday, July 19, 2008

KURSUS PELAPORAN L4 DI PSPN KOTA BHARU

Hari ini saya bersama JU yang lain berada di PSPN untuk 'inhouse tranning' Pelaporan L4 untuk Guru Kaunseling PPD Kota Bharu.

Tuesday, July 15, 2008

ATASI MASALAH

ATASI MASALAH DIRI
Hidup tidak akan terlepas daripada masalah sama ada daripada sebesar-besar masalah atau sekecil-kecil masalah. Besar atau kecil bergantung kepada minda kita yang mentafsirkannya. Masalah yang kecil tetapi minda menganggapnya besar, maka jadi besarlah masalah kita, begitulah sebaliknya. Apa yang penting kini ialah fikirkan bagaimana cara kita menguruskannya.
Cara yang paling mudah ialah:
1. Senaraikan masalah (jika banyak)
2. Kenalpasti punca masalah (agar tidak berulang)
3. Cari beberapa alternatif untuk menyelesaikannya
4. Susun strategi untuk tindakan seterusnya.
5. Laksanakan strategi yang telah diatur
6. Buat senarai semak agar strategi menepati
7. Buat post ‘mortem’ keberhasilannya
8. Buat strategi baru jika perlu
9. Selesaikan dan rasailah nikmatnya.

Sunday, July 13, 2008

PROGRAM ELIT PRA-U - SANTUBONG RESORT
















GAMBAR KENANG-KENANGAN PROGRAM ELIT PRA-U KEBANGSAAN

LAWATAN KE USM KUBANG KERIAN











LAWATAN KERJAYA KE USM KUBANG KERIAN DAN KOLEJ PTPL

KURSUS PRS SMKDMPR2 DALAM KENANGAN






KURSUS PRS (14-16 FEBRUARI 2008)

DALAM KENANGAN


KURSUS KEPEMIMPINAN PENGAWAS SMKDMPR2 (03-05 APRIL 2008)

MENGAPA ANDA BELUM CEMERLANG

# Tiada jadual pengurusan diri / jadual belajar
# Ada jadual tetapi tidak patuh
# Tidak amalkan waktu belajar
# Tidak ada susunan keutamaan
# Suka menangguhkan masa untuk belajar
# Suka belajar ‘last minute’
# Tidak menggunakan kemahiran belajar
# Suka membazir masa dengan aktiviti tidak berfaedah
# ‘Siaran Tertunda’ tidak diberi perhatian
# ‘Siaran Ulangan’ tidak kerap – mudah lupa
# Malas membuat nota saku
# Kurang latih tubi atau tiada langsung
# Hiburan mengatasi segalanya

Norman Vincent Peale
Ubahlah pemikiran anda, maka anda akan mengubah dunia anda!

APABILA ANDA MENGUBAH PEMIKIRAN ANDA !
#Anda mengubah kepercayaan anda.
#Apabila anda mengubah kepercayaan anda.
#Anda mengubah jangkaan anda.
#Apabila anda mengubah jangkaan anda.
#Anda mengubah sikap anda.
#Apabila anda mengubah sikap anda.
#Anda mengubah tabiat anda.
#Apabila anda mengubah tabiat anda.
#Anda mengubah prestasi anda.
#Apabila anda mengubah prestasi anda
#Anda mengubah kehidupan anda.

Benedict Spinoza
Selagi seseorang itu mengimaginasikan bahawa dia tidak boleh melakukannya, selagi dia menentukan tidak melakukannya, maka akibatnya mustahil baginya untuk melakukannya.

HARGA DIRI

Nathaniel Branden
Antara semua pertimbangan yang kita buat dalam kehidupan, tiada yang sepenting pertimbangan yang kita buat ke atas diri sendiri.

Dorothy C Briggs
Harga diri ialah faktor utama yang menentukan kejayaan atau kegagalan setiap orang sebagai seorang insan.

Erric Berne
Kita dilahirkan sebagai JAGUH tetapi proses pemeradaban menjadikan kita katak puru.

Don E.. Hamachek
Orang yang mempunyai harga diri positif cenderung untuk lebih bahagia, lebih sihat dan lebih produktif daripada orang yang rendah harga diri.

Carl Rogers
Jika saya mengenal pasti punca utama kesukaran bagi orang-orang yang saya kenali, dalam majoriti kes, mereka benci akan diri mereka serta menganggap diri mereka sebagai tidak bernilai dan tidak disayangi.

Self-Esteem
Self-esteem is the value we place on ourselve. It is our assessement of our worth as human being, based on our approval of ourselves and our behavior.
We could also describe it as the regard in which we hold ourselves., or our feeling about ourselves based on who and what we believe we are.

HARGA DIRI
# Ketrampilan Diri
– Keyakinan diri
– Kepercayaan bahawa anda berupaya menghadapi cabaran-cabaran utama kehidupan
# Nilai Diri.
– Hormat diri
– Layak untuk hidup dan mencapai kebahagian.

RENUNG - RENUNGKAN

Tiada peperiksaan tanpa soalan, tiada soalan tanpa pembelajaran, tiada pembelajaran tanpa pengajaran, tiada pengajaran tanpa kehadiran, tiada kehadiran tanpa semangat, tiada semangat tanpa dorongan, tiada dorongan tanpa bimbingan, tiada bimbingan tanpa perbincangan, tiada perbincangan tanpa penghayatan, tiada penghayatan tanpa ingatan, tiada ingatan tanpa rujukan, tiada rujukan tanpa ulangan, tiada ulangan tanpa kesedaran, tiada kesedaran tanpa keinsafan, tiada keinsafan tanpa kegagalan, tiada kegagalan tanpa percubaan, tiada percubaan tanpa latihan, tiada latihan tanpa kefahaman, tiada kefahaman tanpa pemerhatian, tiada pemerhatian tanpa pengharapan, tiada pengharapan tanpa wawasan, tiada wawasan tanpa angan-angan, tiada angan-angan tanpa impian, tiada impian tanpa kejayaan, tiada kejayaan tanpa keputusan, tiada keputusan tanpa peperiksaan, tiada peperiksaan tanpa persediaan, tiada persediaan tanpa pengorbanan, tiada pengorbanan tanpa keikhlasan, tiada keikhlasan tanpa ketulusan, tiada ketulusan tanpa kutuhanan, tiada ketuhanan tanpa anutan, tiada anutan tanpa pegangan, tiada pegangan tanpa keimanan, tiada keimanan tanpa ketakwaan, tiada ketakwaan tanpa amalan, tiada amalan tanpa kekuatan, tiada kekuatan tanpa kesabaran, tiada kesabaran tanpa ketahanan, tiada ketahanan tanpa kecekalan, tiada kecekalan tanpa kecemerlangan, tiada kecemerlangan tanpa peperiksaan.

Saturday, July 12, 2008

GAMBAR KEM BESTARI PMR 2008





























Inilah di antara aksi peserta kem yang sempat dirakam.








KEM BESTARI DAH SELESAI

Fuh....leganya bila Kem Bestari dah selesai. Semuanya dapat berjalan dengan lancar. Penceramah pun semakin hebat. Semua peserta sanggup tunggu dua jam tanpa keluar dewan. Ini bermakna fokus peserta cukup tinggi. Bila fokus tinggi, insyaAllah, semua yang dicurahkan dapat diterima dengan baik. Doakan mereka semua cemerlang dalam PMR nanti. Kepada semua penceramah, motivasi, BI, SC, M3, PAI, BM dan BA, jutaan terima kasih diucapkan. Terima kasih daun keladi. Lain masa tolonglah lagi. Begitu juga dengan guru-guru yang sanggup bersama-sama sepanjang perjalanan kem. Jasamu dikenang. Kepada Puan Pengetua, terima kasih kerana sudi hadir untuk merasmikan kem tersebut. Kepada PKP, terima kasih kerana sanggup bersama-sama sepanjang 3 hari 2 malam perjalanan kem. Khusus untuk anak-anakku tersayang iaitu Muhammad Kasyfil Aziz, Muhd Azri, Muhd Alif Aiman, Muhd Iqbal, Aizaq Syazwan, Nur Farhana, Siti Nur Shafiqah, Nurul Asmira, Noor Amalina, Norhaziqah, Nur Azwani, Siti Salwa, Ummi Aisyah, Yusra Izati Farhan, Nurul Fatihah Raihan, Nurakmal Hidayah, Zainirah pastikan target 9A1 anda akan tercapai, insyaAllah. Kepada yang lain yang tidak dapatku catatkan nama anda di sini, teruskan usaha kerana zon pecutan dan zon penamat masih belum berakhir. So, do your best!!!!!

Wednesday, July 9, 2008

JIKA INGIN BERJAYA

Untuk pastikan anda berjaya dalam exam:
i) Nota poket lengkap, kemaskini dan menarik untuk semua subjek.
ii) Ada jadual penggunaan nota poket – giliran yang adil ikut keperluan.
iii) ‘Memburu’ guru subjek bila tidak faham agar jelas.
iv) Ada kumpulan belajar ‘Group Study’ dan ikut teknik.
v) Niat belajar menuntut ilmu kerana Allah.
vi) Keinginan yang tinggi untuk belajar dan berjaya.
vii) Ubah pelan belajar bila perlu.
viii) Ada pelan dan laksanakan untuk setiap subjek.
ix) Semak peratus peningkatan markah setiap subjek.
x) Banyak ulangan dan minimumkan siaran tertunda.
xi) Banyakkan latih tubi dan ikut teknik exam sebenar.
xii) Yakin pada diri sendiri
xiii) Berdoa dan istiqamah.
xiv) Pemakanan yang halal dan seimbang.
xv) Tidak derhaka kepada guru dan ibu bapa.
xvi) Jaga solat dan selalu baca Quran.
xvii) Iman tidak tercalar dan bebas dari dosa.

Tuesday, July 8, 2008

SAJAK

Buat Anak-Anakku

Akan ada lagi manik-manik jernih berguguran
Kerana hayatku masih ada
Dulu manik-manik ini menjadi teman setiaku
Kerana aku memperjuangkan nasibku sendiri
Kini manik-manik ini datang lagi
Kerana ayahmu ini memperjuangkan nasibmu
Selagi aku ini bernama ayah
Maka selagi itu perjuanganku belum selesai
Sayang seorang ayah
Tak sama sayangnya seorang ibu
Pengorbanan seorang ayah
Tidak sama pengorbanan seorang ibu
Memang sepatutnya kalian lebih menyayangi ibumu
Tapi ayahmu ini tidak akan berkecil hati
Walaupun kalian sering berkecil hati kerana ayahmu
Ayahmu ini tidak sempat membelaimu
Sebagaimana ibumu sering membelaimu
Kerana ayahmu ini tidak bisa berpisah dengan keringat
Dan semuanya untuk kamu
Ayahmu ini sedari kecil tidak pernah kenal erti kesenangan
Apatah lagi untuk mengecapinya
Sehingga kini
Tapi percayalah anakku
Ayahmu ini akan bahagia sekali
Andainya kamu tidak sia-siakan hidupmu
Kalau ayah kamu tidak pernah tewas mengemudi hidup
Wal hal dalam seribu kepayahan
Mengapa semangatmu begitu rapuh
Cepat merajuk dan mengalah
Kamukan anak ayah
Darah daging ayah
Dan ayah tetap menyayangimu
Dulu kini dan selamanya
Nukilan: Mohamad Nawi Jaffar 9.55 malam 7 Julai 2008

Sunday, July 6, 2008

KEM BESTARI PMR 2008

Hari ini masa begitu cepat berlalu. Pagi-pagi sudah bagi taklimat tentang peraturan dan pengisian Kem Bestari PMR kepada 160 calon PMR tahun ini. Kem Bestari tahun ini bertempat di Kem Putra, Peringat, Kota Bharu iaitu pada 10 hingga 12 Julai 2008. Surat kelulusan dengan JPN Kelantan iaitu Unit Perhubungan dan Pendaftaran telah diuruskan minggu lepas. Cuma menanti kelulusan. Harap-harap tak sangkut sebagaimana yang lepas. Seperti tahun-tahun lepas, pengisian Kem Bestari ini berfokus kepada teknik menjawab yang akan disampaikan oleh guru-guru yang pakar dalam bidang masing-masing. Alhamdulillah. Perkembangannya sungguh memberangsangkan. PMR tahun 2007 hampir mencapai 100% untuk semua subjek. Tahun 2007 hanya sangkut subjek Bahasa Arab. Harap-harap tahun ini impian semua guru, murid dan ibu bapa akan tercapai. InsyaAllah. Dengan sokongan padu PIBG, penceramah jemputan, Kem Bestari ini diharap dapat mencanai sebanyak mungkin untuk menghasilkan butiran intan permata yang tinggi nilainya. Ingatlah wahai muridku akan pesanan ini:

•Kita ingat Cuma 10% daripada apa yang kita baca.
•Kita ingat Cuma 20% daripada apa yang kita dengar.
•Kita ingat 50% daripada apa yang didengar dan dilihat.
•Kita ingat 70% daripada apa yang dicakapkannya.
•Kita ingat 90% setelah dipraktikkannya

Jadi selepas kem ini, diharapkan semua calon PMR SMKDMPR 2 dapat mempraktikkan apa yang dituntut dalam Kem Bestari tersebut. Apatah lagi sekarang telahpun berada dalam zon pecutan akhir.

Untuk menjadi pelajar yang cemerlang, anda perlulah membina ciri-ciri berikut:

1. Taat kepada perintah Allah.
2. Bermotivasi tinggi dan sentiasa menjalankan sebarang kegiatan dengan bersungguh- sungguh untuk mencapai kecemerlangan.
3. Mahir mengenai strategi dan teknik belajar yang berkesan dan tekun belajar.
4. Mahir mengenai strategi dan teknik menghadapi peperiksaan.
5. Menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan untuk mereka.
6. Menghormati, menyayangi guru dan tidak segan bertanya dan berinteraksi dengan guru.
7. Suka kepada setiap mata pelajaran yang dipelajari.

Hari ini juga ramai klien. Semuanya pasal kerjaya. Cuma tempahan untuk matrikulasi masih 'slow' iaitu baru ada 31 orang. Ada tamu daripada kaum ibu. Bagus ibu ini. Rajin datang sekolah. Dia cukup ambil berat pasal anaknya. Ibu yang macam inilah yang kita mahu. Dalam kesibukan tugas seharian, masih ada kesempatan untuk menjenguk anaknya dan sanggup berbincang dengan Guru Kaunseling.

Tuesday, July 1, 2008

Selamat bertemu kembali. Dah seminggu menghilang kerana kesibukan tugas. Untuk calon SPM 2008, pembelian borang matrikulasi sudah bermula sama ada secara manual atau on line. Tarikh tutup Oktober. Sila berhubung dengan Guru Kaunseling anda untuk maklumat lanjut. Jangan sampai terlewat. Ingat! Pelajar yang cemerlang sentiasa mendahului orang lain.

Wednesday, June 25, 2008

26 Jun 2008 Masih Berda Di Goldcourse Hotel

Hari ini merupakan hari terakhir aku berada di GC hotel. Hari ini aku belajar bagaimana nak link laporan L4 yang dihantar oleh sekolah-sekolah ke PPD, dan cara nak masukkan email L4 ke L8, nak buat semakan otomatik sekolah yang tak hantar, rumusan, protet supaya tidak diceroboh. Terasa begitu cepat sekali masa berlalu. Banyak lagi yang perlu aku belajar. Begitu juga cara nak make-up blog ini. Aku akan cuba sebaik mungkin agar blog ini nanti dapat dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan maklumat terutama murid-murid tersayang yang sering aku tinggalkan bila adanya kursus sebagaimana hari ini.
Senyumlah Guruku Senyum

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti tika itu muridmu juga sedang senyum
Mereka pasti bahagia sekali menatap senyumanmu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu muridmu sedang menuntut denganmu
Mereka pasti bahagia sekali kerana dapat berguru denganmu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu murid kau tidak mengelamun
Mereka pasti bahagia sekali menyiapkan tugasanmu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu muridmu amat meminatimu
Mereka pasti bahagia sekali kerana meminati subjekmu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu muridmu sedang asyik mencatat bingkisanmu
Mereka pasti bahagia sekali kerana kejayaan pasti menunggu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu semangat muridmu tinggi menggunung
Mereka pasti bahagia sekali kerana mereka tidak lagi termenung

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu terurai seribu segala masalah muridmu
Mereka pasti bahagia sekali kerana jasa-jasamu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu kau dapat menerima semua muridmu
Mereka pasti bahagia sekali menjadi anak-anakmu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu segala masalahmu hilang sementara waktu
Kau pasti bahagia sekali walau pun untuk sedetik Cuma

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu tidak akan tergambar penat lelahmu
Kau pasti bahagia sekali dengan segala tugasanmu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu tidak akan tercalar hati kecilmu
Kau pasti bahagia sekali mendengar kata-kata mencuit telingamu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu tak akan terukir segala dukamu
Kau pasti bahagia sekali kerana tidak ada tohmahan untukmu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu terubat segala dukamu
Kau pasti bahagia sekali menerima ketentuan nasib dirimu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu kau dapat melayani karenah muridmu
Mereka pasti bahagia sekali walaupun mencantas kesabaranmu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu tidak akan terusik mindamu
Kau pasti bahagia sekali atas prinsip 'paluli'

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu tak akan menitis manik-manik kecil di pelipismu
Kau pasti bahagia sekali dapat tempuhi hidupmu walaupun tragis

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu sisa hidupmu dapat kau renangi jua
Kau pasti bahagia andai hari esok masih menggamitmu

Senyumlah guruku senyum
Kerana bila kau senyum
Pasti ketika itu keikhlasan terpancar di wajahmu
Kau pasti bahagia sekali kerana pahala pasti mengiringimu

Nukilan: Mohamad Nawi Jaffar 11.55 malam 17 Mei 2008

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum .... dan salam perpaduan. Inilah blog saya yang pertama hasil daripada menghadiri Kursus Pengurusan e-Kaunseling Pelaporan Perkhidmatan Kaunseling Melalui Internet anjuran Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia di Hotel Goldcourse, Klang, Selangor pada 23 - 26 Jun 2008. Terima kasih kepada En. Rahim Othman, Penolong Pengarah Bahagian Sekolah, KPM, En. Norhisham Omar (Fasilitator) atas peluang dan tunjukajar yang diberikan. Terima kasih jua kepada JPN Kelantan dan Warga SMK Dato' Mahmud Paduka Raja 2.